KURSUS ASAS PENGURUSAN JENAZAH

 

Pengurusan Jenazah adalah Fardu Kifayah dan wajib dipelajari dan diketahui oleh semua umat Islam. Perkara ini tidak hanya perlu diketahui oleh imam,bilal atau pegawai syarak tetapi ianya adalah ilmu yang wajib dituntut oleh orang-orang yang beriman.

Sehubungan dengan itu, Harwood Timber Sdn Bhd telah mengadakan kursus Asas Pengurusan Jenazah dengan kerjasama Surau Darul Rahman, Taman Won pada 28hb Mei 2016. Seramai 30 orang peserta telah mengikuti kursus tersebut yang terdiri daripada kakitangan Harwood Timber Sdn Bhd dan penduduk Taman Won Matang.

 

Kursus ini telah diadakan bertujuan untuk melatih dan memberi kefahaman secara terperinci kepada umat Islam tentang cara pengurusan jenazah yang betul jika berlaku kematian. Selain itu para peserta yang menyertai kursus ini berpeluang menambah ilmu pengetahuan dengan mengajukan soalan-soalan berkaitan pengurusan jenazah, kematian dan lain-lain hal yang berkaitan.

 

           Antara pengisian program ini termasuklah penerangan teori pengurusan jenazah, latihan praktikal pengurusan jenazah dan sesi soal jawab. Penerangan teori pada sebelah pagi telah disampaikan oleh Ustaz Haji Sabang Bin Abg Dondang manakala pada sebelah petang para peserta telah diberi tunjuk ajar secara praktikal untuk penyediaan kain kapan, memandikan jenazah dan mengkafankan jenazah. Selain itu, Ustazah Hajjah Kalimah bt Ediwi juga di jemput bagi memberi penerangan dan tunjuk ajar cara-cara pengurusan jenazah untuk peserta wanita.

 

           Program telah tamat sepenuhnya pada jam 5.00 petang. Sebelum bersurai, Pengurus Besar Harwood Timber Sdn Bhd, Tuan Hj Abd Hadi Datuk Hj Abd Kadir telah menyampaikan cenderahati kepada fasilitator sebagai tanda penghargaan dan seterusnya kursus diakhiri dengan sesi bergambar bersama para peserta kursus.

 

 

 

 

Breadcrumbs