Wakaf 2016/2017


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, Projek Wakaf 2016/2017 siri 1 yang telah dijalankan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kakitangan Harwood Timber Sdn Bhd dan masyarakat luar. Tujuan Projek Wakaf 2016/2017 dijalankan adalah bagi membantu dan meringankan beban golongan yang memerlukan. Seperti memberi bantuan kepada golongan asnaf, orang yang ditimpa bencana, memerlukan rawatan perubatan, anak-anak yatim, bantuan dari segi pembinaan dan pendidikan untuk membangunkan maahad tahfiz serta bantuan untuk memenuhi keperluan masjid atau surau.

Menerusi projek wakaf ini, sumbangan dana wakaf yang telah diterima adalah sebanyak RM 6,222.00 manakala sumbangan untuk disedekahkan dan zakat adalah sebanyak RM 2,924.40. Sumbangan yang diterima ini merupakan hasil kutipan daripada tabung wakaf yang telah disediakan di tingkat 2 dan aras bawah pejabat Harwood Timber Sdn Bhd. Selain itu, pihak luar juga turut membantu menyumbangkan sebahagian besar dana untuk projek wakaf kali ini.

Sumbangan dana wakaf telah dibahagikan kepada 3 golongan iaitu golongan tahfiz, golongan asnaf dan surau/masjid yang memerlukan. Sumbangan dana wakaf untuk golongan asnaf telah digunakan untuk membeli barang-barang keperluan seperti tilam, kipas, dapur gas, periuk nasi elektrik, pakaian dan lain-lain.

 

Pada 22hb Jun 2016, seramai 13 golongan asnaf dari kawasan Sadong Jaya, Asajaya, Tambirat, Samariang, Kpg Tabuan dan Kpg Boyan telah menerima sumbangan wakaf dan sedekah yang terdiri daripada barangan keperluan, makanan, pakaian, serta wang ringgit. Golongan asnaf ini terdiri daripada keluarga miskin yang mepunyai anak ramai, menghidap penyakit kronik, ibu/bapa tunggal, mempunyai anak yang kurang upaya, serta warga emas yang sebatang kara. Semua penerima wakaf berasa amat terharu dan berterima kasih terhadap sumbangan wakaf yang telah diberikan dan bersyukur kerana sumbangan ini dapat meringankan beban mereka terutama dalam menyambut Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Penyerahan sumbangan wakaf & sedekah kepada golongan asnaf.

Seterusnya pada 23hb Jun 2016, penyerahan sumbangan wakaf untuk surau atau masjid telah diadakan di Surau Darul Takwa, Kpg Stakan Melayu. Surau ini telah menerima sumbangan wakaf yang terdiri daripada 14 buah rehal dan 4 gulung karpet sejadah.

Penyerahan sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif HTSB, YBhg Tan Sri Datuk Amar Hj Bujang B. Mohd Nor dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar HTSB Tuan Hj Abd Hadi Datuk Hj Abd Kadir, Pn. Hjh Noraskin Mohd Din, Pn. Rosilawati Abdillah, En. Mohd Mazlan Ibrahim Abdullah, En. Husini Bisuni serta beberapa orang kakitangan HTSB. Majlis juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran penduduk Kpg Stakan Melayu.

Pengerusi Surau Darul Takwa, En. Paidi Bin Kasim mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan wakaf yang telah diberikan dan bersyukur dengan adanya sumbangan tersebut anak-anak kampung dapat bertadarus Al-Quran dengan menggunakan rehal yang telah disumbangkan serta mempunyai sejadah yang mencukupi untuk menampung para jemaah Surau Darul Takwa dalam menunaikan ibadah.

Penyerahan sumbangan wakaf untuk Surau Darul Takwa, Kpg Stakan Melayu oleh YBhg Tan Sri Datuk Amar Hj Bujang B. Mohd Nor.

Selain itu, sumbangan wakaf juga telah diberikan kepada Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah (RAUDHAH) pada 28hb Jun 2016 yang bertempat di Jalan Selang Ulu, Kuching. Sumbangan wakaf yang berupa wang tunai RM 2000.00 telah disampaikan kepada penaung Maahad Tahfiz RAUDHAH, Ustaz Azman Zen. Sumbangan ini adalah bertujuan untuk menampung kos perbelanjaan pembinaan surau di maahad tahfiz RAUDHAH. Di samping itu, sumbangan berbentuk makanan daripada kakitangan HTSB juga telah disampaikan kepada anak-anak Maahad Tahfiz tersebut .

 

Penyerahan sumbangan wakaf & sedekah untuk Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah

Pihak pengurusan HTSB amat berterima kasih dan berbesar hati di atas sumbangan yang telah diberikan oleh kakitangan Harwood dan juga pihak luar dalam menjayakan Projek Wakaf 2016/2017 ini. Diharap kita sama-sama dapat terus menjayakan Projek Wakaf ini pada masa akan datang bagi membantu memenuhi keperluan surau/masjid, maahad tahfiz, dan masyarakat setempat yang memerlukan serta sebagai sebahagian daripada amalan kebajikan daripada pihak HTSB. Semoga Allah SWT membalas jasa baik muslimin dan muslimah, seterusnya menambah keberkatan kepada kita semua dalam urusan kita menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

 

 

 

 

Breadcrumbs