Projek Waqaf/Sedekah 2018

Diriwayatkan dalam shahih Al-Bukhari dan Muslim, dari Ibnu Abbas radiyallahu anhuma, ia berkata:

 

(( كَانَ النَّبِيُّ r أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُوْنُ فِيْ رَمَضَانَ، حِيْنَ يَلْقَاهُ جِبْرِيْلُ فَيُدَارِسُهُ القُرْآنَ وَكَانَ جِبْرِيْلُ يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ القُرْآنَ، فَكَانَ رَسُوْلُ الله r حِيْنَ يَلْقَاهُ أَجْوَدَ بِالخَيْرِ مِن الرِّيْحِ المُرْسَلَةِ ))

“Nabi shallallahu alaihi wasallam adalah orang yang amat dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan padanya Al-Qur’an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadhan, lalu membacakan padanya Al-Qur’an. Rasulullah shallallahu alaihi wasallam ketika ditemui jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.”

 

Hadits ini diriwayatkan pula oleh Ahmad dengan tambahan:

(( وَلاَ يُسْأَلُ شَيْئًا إِلاَّ أَعْطَاهُ ))

“Dan beliau tidak pernah dimintai sesuatu kecuali memberikannya.”

 

Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah untuk meraih keuntungan besar dari bulan Ramadhan adalah melalui sedekah. Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Oleh yang demikian, sudah menjadi satu budaya di Harwood Timber Sdn Bhd untuk mengamalkan amalan sedekah.. Sepanjang tahun, tabung Waqaf/Sedekah 2018 memainkan peranan yang penting bagi mengumpul dana bantuan untuk golongan yang memerlukan di sekitar kawasan Kuching, Samarahan, Lundu dan Sematan. Selain daripada pihak syarikat dan kakitangan Harwood, sumbangan luar juga memainkan peranan yang penting dalam menjayakan program waqaf/sedekah di bulan Ramadhan ini.

 

Pada bulan Ramadhan 1439 Hijrah (tahun 2018 Masihi), seramai 30 buah rumah asnaf telah menerima bantuan sumbangan dalam bentuk barangan keperluam rumah, dapur dan juga wang ringgit.

Antara barangan asas yang telah disumbangkan adalah, sekampit/dua kampit beras, gula, garam, susu, minyak masak, kicap, sos, tepung, telur, teh, kopi, roti, biskut, kurma, perisa kordial, keperluan mandi dan membasuh pakaian.  Selain daripada itu, keperluan asas rumah seperti kipas, dapur, tilam, bantal dan almari turut disumbangkan kepada beberapa buah rumah. Pengagihan telah dijalankan selama tujuh hari di 18 buah kampung di kawasan bandar Kuching dan Samarahan .

Selain daripada golongan asnaf, Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah dan Maahad Tahfiz Ribat Al-Mustofa juga turut menerima sumbangan berbentuk wang ringgit. Semoga dengan sumbangan itu , dapat membantu serba sedikit proses pembelajaran dan pentadbiran mereka pusat pembelajaran tersebut.

 

 

Turut menerima sumbangan ialah Rumah Amal Nur Murni dan Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah Kuching. Rumah Amal Nur Murni ditubuhkan pada September 2014 dan merupakan sebuah pusat penjagaan anak anak yatim. Melalui pertubuhan ini, anak anak ini ditempatkan di asrama dan diberi pendidikan formal, didikan agama dan sebagainya. Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah Kuching pula ditubuhkan untuk menyediakan rumah penjagaan kepada anak anak saudara baru (mualaf). Pertubuhan ini berperanan untuk memastikan anak anak saudara baru ini mendapat bimbingan dan pendidikan agama yang sewajarnya di samping menyediakan kemudahan asas dan persekolahan mereka.

 

Dengan bantuan kakitangan Harwood di Sematan, kita juga berjaya memberi sumbangan kepada sebuah surau di Lundu iaitu Surau Darul Rahman. Sejumlah wang telah diperuntukkan untuk membina pagar surau tersebut. Ini bertujuan untuk mengelak surau dimasuki haiwan liar dan juga untuk memudahkan kerja mengawal keselamatan surau.

 

Diharap agar kita semua memperoleh keberkatan dan keredhaan Nya. Semoga kita diberi kesempatan untuk bertemu lagi di Ramadhan yang akan datang. InsyaAllah.

 

 

 

Breadcrumbs